HUDDERSFIELD TOWN 1 NEWCASTLE UNITED 0

Pemain tengah Huddersfield Town, Tom Ince, memberi amaran bahawa pasukannya bukan sebuah pasukan kerdil yang harus dipandang rendah walaupun baru sahaja dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris (EPL), musim ini.


Selepas mengharungi dua perlawanan, skuad kendalian David Wagner itu mencipta kejutan apabila meraih mata penuh dalam kedua-dua perlawanan menentang Crystal Palace dan Newcastle United.

Biarpun memegang status pendatang baru, jelas sekali skuad The Terriers tidak mahu diperkecilkan oleh pasukan lain.

“Kami bekerja keras dan itu yang dituntut oleh jurulatih. Telah terbukti bahawa jika kami bekerja sebagai sebuah pasukan, kami mampu menjaringkan gol.

“Ketika menentang Newcastle, pengurus mahukan kami sentiasa memberikan tekanan kepada lawan dan kami mempamerkan aksi yang bertenaga untuk memenangi perlawanan,” kata Ince.

Dalam aksi di Stadium John Smith, Aaron Mooy menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika Huddersfield mencatat kemenangan 1-0 ke atas Newcastle malam tadi untuk memastikan enam mata dimiliki hasil daripada dua perlawanan.

Namun, bagi Ince, masih terlalu awal untuk memberikan sebarang gambaran.

“Segalanya bagus setakat ini tetapi kami harus melupakannya dan terus berusaha untuk mempertingkatkan prestasi pasukan.

“Pengurus mengingatkan bahawa setiap perkara tiada batasan dan kami memegang prinsip itu,” tambahnya.