Ciro Immobile tidak berniat untuk meninggalkan Lazio biarpun pemenang Kasut Emas (Capocannoniere) Serie A itu diburu kelab Liga Perdana Inggeris (EPL).

Immobile menjaringkan 29 gol buat pasukan bimbingan Simone Inzaghi itu musim lalu, satu pencapaian yang hanya boleh dicabar pemain Inter Milan, Mauro Icardi, sehingga dikaitkan dengan perpindahan dari ibu kota Itali itu.

Tottenham Hotspur dilaporkan mengetuai usaha untuk menandatangani pemain berusia 28 tahun itu, begitupun pemain antarabangsa Itali itu menyatakan dia gembira di Rom.

Justeru, Immobile dijangka akan menandatangani perjanjian baru dengan Lazio dalam masa terdekat -- walaupun kontraknya sekarang masih berbaki hingga 2022.

"Apabila penyerang melakukannya dengan baik, adalah normal bahawa dia dipuji oleh pasukan lain," katanya dalam sidang media. "Tetapi saya sentiasa tenang.

"Saya gembira dan bangga dengan apa yang saya lakukan (musim lepas). Presiden (Claudio Lotito), pengarah sukan (Igli Tare) dan saya sedar keadaannya.

"Mereka meminta saya (untuk memperbaharui kontrak), kami saling mempercayai dan saya sangat gembira.

"Saya telah menandatangani kontrak baru pada November, itu adalah kebanggaan saya untuk memperbaharui kontrak selepas 10 bulan.

"Pengarah sukan sangat sibuk tetapi sebaik sahaja dia berkelapangan, kami akan memuktamadkan perjanjian tersebut, Dia dan presiden merupakan orang yang berpegang kepada janji, jadi kami akan melakukan semuanya secepat mungkin."

Immobile mungkin mendahului carta penjaring musim lalu tetapi dia tidak menjangkakan akan mengulanginya pada 2019 berikutan kehadiran Cristiano Ronaldo di Juventus.

Dia menambah: "Sebaik Ronaldo tiba, saya fikir saya beruntung kerana pernah memenangi Kasut Emas!

"Dia akan menjadi lawan yang sukar dihadapi, baik di lapangan dan dalam perlumbaan untuk menjadi penjaring terbanyak."