JUVENTUS 2 TOTTENHAM 3

Harry Kane menyifatkan gol sensasinya ke atas Juventus malam tadi sebagai mungkin salah satu yang terbaik dalam kerjayanya.


Tottenham sepatutnya menuju ke penentuan sepakan penalti dengan juara Itali itu dalam pertandingan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Singapura sebelum campur tangan Kane pada masa kecederaan.

Ketua pasukan England itu melihat Wojciech Szczesny di luar garisan golnya sebelum menewaskannya dengan rembatan dari kawasan tengah padang untuk memastikan kemenangan dramatik 3-2 dalam kempen pra-musim pertama Spurs menjelang kempen 2019-20.

Kane pernah menjaringkan beberapa gol menarik sepanjang kerjayanya tetapi dia percaya jaringan ketika menentang Juve itu antara yang terbaik.

"Ia mungkin salah satu daripada jaringan terbaik dalam kerjaya saya," katanya dalam temu bual selepas perlawanan.

"Saya melihat kedudukan penjaga gawang (Szczesny) agak jauh (dari garisan gol), jadi saya fikir jika saya berpeluang untuk melepaskan sepakan, maka saya akan menyepak terus dan saya gembira ia masuk."

Kane diperkenalkan sebagai pemain gantian dalam separuh masa kedua dan berpuas hati kerana berpeluang membuat persiapan menjelang musim baru.

"Ia bagus untuk mendapatkan aksi selama 45 minit," katanya. "Ia adalah permulaan yang baik untuk kempen pra-musim, semua orang bekerja keras.

"Cuaca sangat panas di sini, jadi ia pasti akan membuatkan kami cergas. Kami menantikan perlawanan seterusnya (menentang Manchester United pada Khamis) dan selepas itu kita lihatlah bagaimana keadaannya."