Ibrahimovic tidak sabar hadapi Pep Guardiola

By Amirul Azreen 18 March 2017
Ibrahimovic tidak sabar hadapi Pep Guardiola

Bintang Manchester United, Zlatan Ibrahimovic mengakui dia tidak sabar untuk turun beraksi berdepan bekas jurulatihnya, Pep Guardiola.

Kedua-dua individu ini pernah bersama-sama di Barcelona pada musim 2009-10 sebelum mengalami keretakan hubungan sehingga memaksa Ibrahimovic berhijrah ke AC Milan.

Mereka kini sekali lagi dipertemukan dalam Liga Perdana Inggeris, dipisahkan dengan United dan Manchester City.

Pemain berusia 35 tahun itu berkata pertembungan tersebut menyuntik semangat baru dalam dirinya meskipun menegaskan ia bukan bersifat peribadi.

"Apabila saya berdepan pasukan kendaliannya, ia menyuntik motivasi baru dalam diri saya," dia memberitahu Fox Sports Italia.

"Ia tidak bersifat peribadi, hanya sebahagian daripada permainan ini."

Ibrahimovic dan Guardiola bersama-sama merangkul kejuaraan LaLiga ketika di Barca, dengan penyerang Sweden itu menyumbang 16 gol.

Penyerang tinggi lampai itu berkata hubungannya dengan bekas pengendali Bayern Munich itu berubah mendadak.

"Pada awalnya, dia sering menghubungi saya dan kemudian tidak semena-mena saya tidak lagi diturunkan," jelas Ibrahimovic.

About Author

Amirul Azreen

Comment