Zlatan Ibrahimovic bertekad mengekalkan cabaran Manchester United terhadap empat trofi musim ini selepas membantu kelab itu mengorak langkah besar dalam pusingan 32 Liga Europa.

Penyerang berusia 35 tahun itu menjaringkan hatrik pertamanya buat United untuk memberi pasukan kendalian Jose Mourinho kemenangan 3-0 ke atas Saint-Etienne di Old Trafford dalam pertemuan pertama pusingan 32, awal pagi tadi.

Ia adalah hatrik ketiga dalam karier Ibrahimovic berdepan skuad Christophe Galtier yang meletakkan United dalam kedudukan hampir terjamin untuk ke pusingan seterusnya.

Dengan Perisai Komuniti sudah dimiliki mereka, final Piala EFL yang akan menyusul minggu depan dan pertemuan pusingan kelima Piala FA menentang Blackburn Rovers pada Ahad, Ibrahimovic bertekad memastikan pasukannya meneruskan rentetan kemenangan – sekalipun kejuaraan Liga Perdana dilihat sukar dijangkau mereka.

“Kami mencipta peluang-peluang baik,” katanya kepada BBC Sport. "Ia penting untuk kami mendapatkan kemenangan di tempat sendiri sebagai bekalan untuk perlawanan timbal balik. Saya fikir kami boleh melakukan lebih baik lagi.

“Setiap kali saya bermain menentang Saint-Etienne, dengan kerja keras, kami mendapat beberapa gol. Saya sendiri telah menjaringkan beberapa gol dan harap-harap saya dapat melakukan yang sama minggu depan.

“Kami sedang dalam rentetan kemenangan tapi dalam masa singkat, segalanya boleh bertukar. Adalah penting untuk terus mendapatkan kemenangan. Segalanya boleh bertukar tapi kami gembira pada waktu ini.

"Jika anda lihat kepada Liga Perdana, daripada empat pasukan ke Liga Juara-Juara, satu akan menjadi juara dan selebihnya mungkin tidak menang sebarang trofi.

“Kami masih bersaing dalam semua empat kejuaraan. Yang kelima, Perisai Komuniti, sudah kami menangi. Jika kami tidak menang trofi Liga Perdana, kami akan dapatkan lain-lain trofi. Itu juga bagus.”