Zlatan Ibrahimovic menegaskan masih belum membuat keputusan mengenai masa depannya bersama Manchester Unite, tatkala kontraknya bakal berakhir hujung musim ini.

Penyerang veteran itu sedang menikmati musim pertamanya dengan baik di Old Trafford apabila telah pun menyumbang 20 gol dalam kesemua kejohanan setakat ini.

Pengendali, Jose Mourinho, turut tidak berselindung dengan niatnya mahu pemain itu kekal di Manchester untuk satu musim lagi.

Meskipun wujud laporan bahawa terdapat klausa dalam kontrak yang mengatakan dia akan mendapat kontrak pembaharuan automatik selama 12 bulan sekiranya berjaya mencapai objektif gol dan penampilan, pemain berusia 35 tahun itu bertegas dia masih belum pasti tentang masa depannya.

"Jika ia benar, saya perlu menjaringkan 100 gol!" ujar pemain itu selepas membantu United melakar kemenangan 2-0 ke atas Watford, pada Sabtu lalu.

"Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku."

Anthony Martial mencuri tumpuan kelmarin apabila menyumbat satu gol dan satu bantuan jaringan, dengan Ibrahimovic menjelaskan bagaimana dia sering memberi nasihat kepada pemain Perancis itu.

"Setiap kali beraksi, dia akan bermain dengan cukup baik," kata Ibrahimovic. "Dia seorang yang pendiam tetapi cukup profesional.

"Ketika sarapan, dia akan duduk bersama saya dan kami akan berbual seperti pemain lain. Kami bukan cuba untuk menceriakannya; tetapi suasana di antara pemain cukup baik.

"Dia mencipta banyak peluang tetapi saya sedar dia agak keletihan pada babak kedua kerana banyak membuat larian di samping kurang mendapat peluang beraksi."