Ronald Koeman tidak pernah meragui Zlatan Ibrahimovic akan menimbulkan gempar dalam Liga Perdana Inggeris sambil menyatakan penyerang Manchester United itu kekal sebagai antara yang terbaik di dunia.

Ibrahimovic tiba dari juara Perancis, Paris Saint-Germain, dengan perpindahan percuma pada penghujung musim lalu dan pemain veteran Sweden itu telah melakukan peralihan yang lancar, dengan menjaringkan 26 gol dalam semua pertandingan.

Selepas penggantungan tiga perlawanan domestik, pemain berusia 35 tahun itu bersiap-sedia untuk kembali ketika berdepan Everton hari ini – satu pertemuan semula dengan bekas bos Ajax, Koeman.

Koeman mengurus pasukan gergasi Belanda itu ketika Ibrahimovic baru bertatih dalam bola sepak dan pengurus Everton itu menyorot waktunya bersama penyerang tinggi lampai itu.

“Saya tidak terkejut (dengan impaknya dalam Liga Perdana) kerana dia benar-benar berbakat dan kuat,” kata Koeman. “Dan barangkali dia adalah salah seorang pemain terkuat dari segi mental yang saya ketahui. Saya masih kagum dengannya.

"Saya benar-benar mengenalinya dan dia masih menunjukkan keupayaan dengan baik pada usianya kini, dengan kekal sangat penting buat pasukan dan menjaringkan gol, menunjukkan dia masih antara yang terbaik. Saya masih menaruh rasa hormat yang tinggi terhadapnya.

“Saya mengurus Zlatan ketika dia muda dan ada kalanya sukar! Tapi OK, itu adalah perkara biasa.

“Dia seorang yang kelakar tapi kami memiliki ramai pemain muda. (Rafael) Van der Vaart, (Nigel) De Jong, (John) Heitinga, Mido, Zlatan; semuanya bakat besar pada waktu itu, tapi kesemua mereka berusia 19 tahun, memandu Porsche, memandu Ferrari!

"Saya menemui Zlatan tiga atau empat kali dalam tempoh empat atau lima bulan lalu. Jika kami bercakap mengenai masa di Ajax, dia tahu benar bagaimanakah dia ketika usianya 19 tahun dan bagaimana dia sekarang.”

Everton kini menghuni tangga ketujuh dalam liga, tiga mata di belakang United di tangga kelima.