Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, berkata penyerang, Zlatan Ibrahimovic, akan bermula daripada bangku simpanan bagi menguji lututnya selepas pulih daripada kecederaan.

Ibrahimovic dijangka membuat penampilan semula selepas pulih daripada kecederaan lutut ketika skuad bimbingan Mourinho menerima kunjungan Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam ini.

Pemain berusia 36 tahun itu akan bersaing dengan Romelu Lukaku untuk mendapatkan posisi penyerang tetapi Ibrahimovic bakal bermula daripada bangku simpanan.

"Sebagai permulaan, saya mahu Ibrahimovic bermain sebagai pemain gantian.

"Ibrahimovic akan berada di bangku simpanan dalam perlawanan bertemu Newcastle," katanya

Ibrahimovic meledak 28 gol dalam 48 perlawanan untuk United musim lalu sebelum mengalami kecederaan, sebelum mengambil keputusan untuk menandatangani semula kontrak untuk kekal di Old Trafford.

Kehadiran Lukaku bakal mengurangkan masa bermain Ibrahimovic tetapi Mourinho percaya mereka berkemungkinan bakal bergandingan bersama.

"Lukaku dan Ibrahimovic merupakan pemain yang berkualiti, saya akan cuba melihat prestasi mereka terlebih dahulu sebelum menggandingkan mereka bersama," ujarnya.