Penyerang Manchester United, Henrikh Mkhitaryan, menyifatkan percubaan akrobatik ala kala jengking yang dilakukannya ketika menentang Sunderland merupakan gol terbaik yang pernah dijaringkan sepanjang kariernya.

Mkhitaryan beraksi sebagai pemain gantian ketika membantu United menang 3-1 di Old Trafford dengan menjaringkan gol akrobatik menewaskan penjaga gol, Jordan Pickford.

Pemain kebangsaan Armeia itu berkata ia merupakan gol terbaiknya walaupun dia menyempurnakan percubaan itu di dalam kawasan ofsaid.

"Ia merupakan jaringan gol terbaik pernah saya hasilkan," jelas Mkhitaryan kepada MUTV.

"Saya sangat teruja. Perkara pertama saya melihat kepada penjaga garisan sama ada dia memberikan keputusan ofsaid.

"Saya mendapati dia tidak menghukum saya ofsaid, maka saya terus meraikan jaringan itu."

Jaringan daripada Daley Blind dan Zlatan Ibrahimovic memberikan keselesaan kepada United manakala Fabio Borini meledak gol sagu hati buat pasukan pelawat di penghujung perlawanan.

Mkhitaryan, yang kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan buku lali, berkata dia sudah bersedia untuk beraksi dalam lebih banyak perlawanan untuk United.

"Saya sudah bebas daripada kecederaan dan saya sangat gembira untuk beraksi dan membantu pasukan.

"Saya akan memberikan yang terbaik dalam perlawanan akan datang, kami mahu meneruskan momentum ini dan meraih tiga mata penuh."