Perdebatan sepakan penalti Paul Pogba dan Marcus Rashford ketika pertemuan dengan Wolverhampton Wanderers seperti membincangkan tentang permainan loteri, kata bekas kapten Manchester United, Gary Neville.

Pogba dan Rashford dilihat berbincang mengenai tugasan sepakan penalti -- selepas pemain Perancis itu dijatuhkan oleh Conor Coady -- di Molineux, awal pagi tadi.

Rashford menyempurnakan tugasan itu ketika kemenangan United ke atas Chelsea minggu lalu tetapi penggempur England itu memberikan bola kepada Pogba ketika berdepan Wolves.

Rui Patricio bertindak cemerlang menafikan usaha Pogba dan pemenang Piala Dunia 2018 itu kini gagal menyempurnakan empat sepakan penalti sejak permulaan musim 2018-19.

Neville, ketika tampil selaku pengulas di Sky Sports, tampak tidak gembira dengan cara Pogba, Rashford, Daniel James, Jesse Lingard dan Anthony Martial mengendalikan tugasan sepakan penalti.

"Terdapat perdebatan antara Martial, James, Rashford serta Pogba dan ia seperti 'Pergilah rakan, anda lakukannya'," katanya.

"Ia tidak betul. Lihat, Pogba datang, kemudian Lingard terlibat. Adakah Pogba patut mengambil sepakan penalti dan Rashford telah mengambil tugasan itu daripadanya sebelum ini?

"Saya mempertahankan Pogba kerana dia mungkin pemegang tugas itu. Ia tidak betul. Mereka patut membuat keputusan sebelum beraksi. Ia tidak betul.

"Ini adalah penalti buat United dan bukan tombola (sejenis permainan loteri). Ini bukan permainan bola sepak lima sebelah di taman permainan. Rashford memberikan bola kepada Pogba dan ia tidak betul.

"Mengapa ada perdebatan mengenai tugasan itu? Pogba telah gagal dalam empat cubaan dalam tempoh 12 bulan, jadi anda fikir dia mungkin berpeluang. Rashford menyempurnakan sepakan penalti minggu lalu.

"Tiada ketua di atas padang."

Pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer, kemudian memberitahu Sky Sports bahawa Pogba dan Rashford berkongsi tugasan tersebut dan pemain menentukan keputusan yang dibuat.