Ketua pasukan Chelsea, John Terry, akan menjalani penggantungan satu perlawanan selepas Persatuan Bola Sepak (FA) England menolak rayuan kad merah yang dilayangkan ke atasnya ketika menang 4-1 ke atas Peterborough United dalam pusingan ketiga Piala FA.

Pemain berusia 36 tahun itu membuat penampilan kelapan musim ini untuk pasukan kendalian Antonio Conte itu yang juga merupakan aksi pertamanya sejak November, namun dibuang padang kerana sengaja menjatuhkan Lee Angol pada minit ke-67.

Conte menjelaskan kehadiran Branislav Ivanovic yang berada berdekatan bermakna Terry tidak menafikan peluang jaringan sekalipun FA menolak dakwaannya atau apa-apa alasan yang boleh meringankan hukuman itu.

"John Terry akan menjalani penggantungan satu perlawanan dengan serta-merta selepas rayuan kad merahnya tidak berjaya selepas sesi pendengaran Suruhanjaya Bebas Peraturan," menurut kenyataan rasmi badan induk itu.

"Pemain pertahanan Chelsea itu dibuang padang kerana jelas sekali menghalang peluang untuk menjaringkan gol semasa perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Peterborough United pada Ahad."

Terry akan terlepas kunjungan untuk berdepan juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Leicester City, meskipun jarang diturunkan dalam aksi utama, dengan kali terakhir tampil kali ketika seri 2-2 dengan Swansea City, September lalu.