Chris Hughton tidak terlalu kecewa dengan kekalahan 2-0 Brighton and Hove Albion kepada Manchester City dalam aksi pertama, malam tadi.

Selepas menduduki tempat kedua Liga Kejuaraan musim lalu, The Seagulls menerima kunjungan City ke Stadium Amex dalam aksi sulung yang dinanti-nanti.

Brighton mungkin membenarkan skuad kendalian Pep Guardiola menguasai hantaran bola, namun mereka berjaya mengekang asakan pasukan pelawat selama hampir sejam sebelum City membuka tirai jaringan menerusi Sergio Aguero dan mengesahkan kemenangan hasil gol sendiri Lewis Dunk.

Bagaimanapun, Hughton tetap berbangga dengan anak buahnya yang tampil memberi cabaran, namun mengakui pasukannya perlu diperkuatkan seandainya mahu kekal dalam liga utama England itu.

"Sedikit mengecewakan tetapi kami sedar Manchester City memiliki skuad yang berkualiti," dia memberitahu BBC Sport.

"Banyak perkara positif yang boleh kami ambil daripada pertembungan ini. Apabila berdepan pasukan berstatus Liga Juara-Juara, kami sedar mereka mampu menyakiti kami.

"Kami perlu memastikan sebaik jendela perpindahan berakhir, pasukan ini memiliki pemain yang mampu membantu pasukan menyaingi kekuatan pasukan lawan."

Sementara itu, pemain tengah, Solly March, mengakui berdepan City bukan perkara mudah tetapi pemain berusia 23 tahun itu lega tidak perlu berdepan lawan sama setiap minggu.

"Ini perlawanan yang sukar tetapi kami tidak akan berdepan lawan sama setiap minggu," katanya.