Huddersfield Town mengesahkan perpindahan secara tetap untuk penjaga gol, Jonas Lossl, dari Mainz telah disempurnakan.

Pemain berusia 29 tahun itu mencuri perhatian apabila mengelakkan gawang daripada dibolosi sebanyak lapan kali sejak menyertai The Terriers secara pinjaman jangka panjang pada Jun lalu.

Dia disenaraikan dalam skuad kebangsaan Denmark bagi menghadapi aksi persahabatan menentang Panama dan Chile dan akan menyempurnakan perpindahan tetap itu pada akhir musim ini.

“Berita perpindahan secara tetap Lossl merupakan khabar gembira buat Huddersfield selepas Florent Hadergjonaj juga sah menjadi hak milik The Terriers sepenuhnya pada minggu lalu,” kata pengurus pasukan, David Wagner.

“Kami sedar bahawa Lossl memiliki kualiti yang tinggi semasa menyertai kami menerusi pinjaman dan ia telah dibuktikan. Sumbangannya kepada pasukan sangat sempurna dan dia juga melakukan aksi-aksi penting. Perkembangannya dapat dilihat dengan baik.

“Lossl merupakan sebahagian besar daripada kempen kami pada musim ini, tidak kira di dalam dan di luar padang. Saya pasti dia akan meneruskannya tatkala kami berusaha untuk mengekalkan tempat dalam Liga Perdana Inggeris,” tambahnya.

The Terriers kini menduduki tangga ke-15 liga, dibezakan dengan empat mata daripada zon penyingkiran.