Huddersfield Town akhirnya melengkapkan perpindahan pemain tengah, Alex Pritchard, dari Norwich City melalui satu transaksi bernilai GBP14 juta (RM76 juta).

Pemain berusia 24 tahun itu telah menarik perhatian Huddersfield sejak beberapa minggu lalu dan pengendali pasukan, David Wagner, yang tidak gembira dengan harga pasaran pemain England ketika ini mengakui kepincangan skuad sejak awal bulan ini.

Bagaimanapun, kehadiran Pritchard yang berhijrah ke Norwich dari Tottenham Hotspur pada Ogos 2016 dilihat mampu memberikan kelebihan buat The Terriers.

Bekas pemain skuad B-21 England itu mempunyai kebolehan untuk bermain di bahagian tengah ataupun sayap, membuatkan Huddersfield menawarkan kontrak selama tiga tahun enam bulan dan disertakan dengan pilihan untuk lanjutan setahun.

"Saya gembira untuk mengalu-alukan kedatangan Alex ke Huddersfield Town," kata Wagner kepada laman web rasmi pasukan.

"Ternyata sekali dia adalah pemain yang kami mahukan. Alex adalah seorang pemain England yang muda dan hadir ke sini dengan prestasi yang hebat di dalam Liga Kejuaraan serta keinginan tinggi untuk membuktikan kebolehannya di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Kini kami akan membantunya untuk bekerja keras dalam usaha untuk menjadikannya pemain yang berjaya," tambah Wagner.

Pritchard menjadi pemain kedua yang menyertai The Terriers pada jendela perpindahan bulan ini selepas Terence Kongolo dipinjamkan dari kelab Perancis, AS Monaco.