Pengendali dari Portugal, Marco Silva, akhirnya dipecat oleh Watford susulan kemerosotan prestasi yang mendadak sejak dikaitkan dengan perpindahan ke Everton pada November lalu.

Pengurus berusia 40 tahun itu menjadi sasaran The Toffees sejak Ronald Koeman dipecat, selepas kehadirannya dari Hull City pada Mei lalu memberikan impak positif kepada perjalanan awal Watford dalam saingan liga musim ini.

Bagaimanapun, hasrat Everton untuk membawanya ke Goodison Park menemui jalan buntu selepas The Hornets menuntut yuran penebusan kontrak buat Silva yang bernilai GBP20 juta, sebelum membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat bekas pengurus England, Sam Allardyce.

"Keputusan ini sukar dilakukan dan ia bukan satu tindakan yang mudah. Pihak kelab yakin bahawa Silva merupakan individu yang tepat ketika dipilih, namun sejak cuba didekati oleh sebuah kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), fokusnya telah hilang dan Watford mengalami kemerosotan prestasi yang mendadak.

"Untuk kebaikan dan kejayaan pasukan, pihak tertinggi percaya perubahan harus dilakukan," kata kenyataan daripada pihak Watford.

Semalam, Watford tewas 0-2 di tangan Leicester City dan kini berada di tangga ke-10 liga, hanya dibezakan lima mata dengan pasukan di tangga ke-18, Southampton, yang akan beraksi bertemu Tottenham Hotspur, malam ini.