BOURNEMOUTH 3 ARSENAL 3

Eddie Howe mahu mengambil positif selepas Bournemouth seri 3-3 dengan Arsenal, berbangga dengan pencapaian anak buahnya walaupun melepaskan tiga gol pendahuluan untuk meraih satu mata.


Bournemouth berada di landasan yang baik untuk melakar kemenangan ke atas Arsenal di Stadium Vitality apabila mendahului 3-0 sehingga The Gunners melancarkan kebangkitan dalam baki 20 minit perlawanan untuk memungut satu mata.

Gol-gol The Cherries dihasilkan Ryan Fraser, Charlie Daniels dan Callum Wilson sebelum anak buah Arsene Wenger bangkit menerusi jaringan Alexis Sanchez, Lucas Perez dan Olivier Giroud pada minit kedua masa kecederaan.

Walaupun sekadar meraih satu mata, pengurus, Howe, berkata ia merupakan satu persembahan yang mantap daripada pasukannya berdepan pencabar utama EPL musim ini.

"Kami bermain dengan baik, menjaringkan gol dan cuba untuk menggugat rentak permainan mereka," ujar Howe.

"Saya berpuas hati dan berbangga dengan usaha pemain saya. Kami perlu memberikan pujian kepada Arsenal di atas kebangkitan mereka."

Howe sedikit terkilan kerana Simon Francis dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan ke arah pemain tengah Arsenal, Aaron Ramsey.

"Saya tidak melihat terjahan itu harus dihukum dengan kad merah kerana dia tidak mengangkat kakinya untuk membahayakan pemain lawan.

"Bagaimanapun, kami tidak mengabaikan kualiti yang mereka miliki dan Bournemouth telah memberikan yang terbaik."