WEST HAM 1 CRYSTAL PALACE 1

Bakary Sako mengalami kecederaan buku lali ketika Crystal Palace seri 1-1 dengan West Ham dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan bakal diketepikan untuk baki saingan musim ini.


Sako gagal meneruskan permainan sebelum tamat separuh masa selepas diterjah oleh pertahanan lawan, Pablo Zabaleta, dan pemain berusia 29 tahun itu terpaksa digantikan oleh Yohan Cabaye.

Ketika itu, Palace mendahului perlawanan 1-0 sebelum Mark Noble menyempurnakan sepakan penalti dan menyaksikan mereka berkongsi mata di Stadium London.

Pengendali pasukan, Roy Hodgson, menyifatkan kecederaan Sako mengganggu pasukan untuk mencari pengganti ketika jendela perpindahan yang semakin hampir ditutup.

"Kami tidak mengetahuinya hingga esok. Tetapi pegawai perubatan akan mencuba yang terbaik," katanya.

"Ia amat mengecewakan jika dia tidak dapat menghabiskan musim ini bersama pasukan.

"Sako merupakan pemain yang berpengaruh dalam skuad ini."

West Ham telah melakukan beberapa percubaan terlebih dahulu untuk membuka jaringan tetapi Palace mendahului perlawanan daripada Christian Benteke, yang meledak gol pertamanya buat 2018.

Hodgson, bagaimanapun, berpuas hati dengan keputusan seri selepas mereka tewas 4-1 kepada Arsenal sebelum ini.

"Ia merupakan satu keputusan yang adil. Kami telah melakukan yang secukupnya untuk memastikan satu mata diraih."