Biarpun Crystal Palace menghampiri zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan satu mata, pengurusnya, Roy Hodgson, tetap gembira selepas tumpas 3-2 kepada Arsenal.

Walaupun realiti kedudukan mereka terancam, Hodgson tetap memuji keberanian Palace yang bersedia untuk mengasak selepas ketinggalan dan terus memburu gol selepas mengikat kedudukan.

"Kami memerlukan lebih banyak kemenangan," kata Hodgson sejurus selepas perlawanan awal pagi tadi.

"Saya berasa senang hati melihat pasukan ini tidak mudah menyerah dan menyumbat gol. Mereka bersedia memberikan saingan dan mengambil kesempatan.

"Jaringan yang dilakar adalah hasil daripada usaha kami yang menguasai kawasan lawan dalam tempoh yang lama," katanya.

Kualiti menyerang Palace membolehkan mereka untuk bangkit selepas permulaan buruk musim ini di bawah kendalian Frank de Boer -- tumpas tujuh kali berturut-turut.

Kekalahan di Selhurst Park awal pagi tadi menyaksikan Andros Townsend dan James Tomkins mencetak gol pertama selepas sembilan perlawanan.

Namun, Hogdson menyedari rintangan yang dihadapi andai Palace mahu terselamat dan dia percaya perpindahan Januari akan menjadi kuncinya.

"Pasukan atasan boleh menghukum anda melalui serangan balas. Peminat tahu kami telah berjuang dengan baik, mungkin kami tidak begitu jauh daripada apa yang kami mahukan," katanya.

"Semua orang di kelab ini ingin membantu menghasilkan keputusan terbaik, ia adalah pasaran yang sukar dan kami memerlukan pemain berkualiti dalam kedudukan yang tepat.

"Saya berharap pemain yang betul akan datang dan kelab akan melakukan segala-galanya untuk membantu kami mendapatkannya," tambahnya.