Pemain sayap Crystal Palace, Wilfried Zaha, terpaksa dikeluarkan ketika aksi berbaki seminit sewaktu pasukannya meraih kemenangan penting 2-0 ke atas Huddersfield Town dalam aksi liga, semalam.

Bagaimanapun, pengurus pasukan, Roy Hodgson, yakin dia tidak mengalami kecederaan serius selepas menjadi watak utama dalam membantu James Tomkins membuka tirai jaringan dan meraih sepakan penalti untuk Luka Milivojevic bagi memastikan Palace menjarakkan dua mata daripada zon penyingkiran.

Zaha, yang mengalami dua kecederaan sehingga membuatkannya terpaksa disisihkan dalam tempoh panjang pada musim ini, dilihat tidak selesa dengan keadaannya ketika digantikan oleh Ruben Loftus-Cheek, namun Hodgson berharap agar pemain Ivory Coast itu tidak perlu direhatkan sekali lagi.

“Saya tidak pasti sama ada dia benar-benar mengalami kecederaan.

“Dia menerima beberapa terjahan ketika menuju penghujung perlawanan tetapi selepas berusaha keras susulan rehat yang panjang selama tujuh minggu, saya berharap dia segera pulih.

“Apa yang lebih membimbangkan kami adalah keadaan Jeffrey Schlupp kerana dia jelas berdepan masalah dengan buku lali ketika dikeluarkan tetapi kami hanya akan mengetahui keputusan rasmi apabila dia melalui proses imbasan,” kata Hodgson.

“Zaha tampak sangat kuat di sepanjang perlawanan. Dalam babak pertama, terdapat beberapa pemain yang memainkan peranan besar buat kami tetapi perlawanan menjadi semakin terbuka apabila Huddersfield mula mengejar kedudukan.

“Salah satu sebabnya adalah kebolehan Zaha dalam melarikan bola daripada pihak lawan.”

Huddersfield hanya meraih satu mata dalam tiga perlawanan terakhir, membuatkan pengurus pasukan, David Wagner, menyifatkan anak-anak buahnya tidak beraksi di tahap terbaik.

“Kami beraksi di bawah tahap sebenar hari ini. Kami layak menerima kekalahan ini kerana segalanya tampak tidak menjadi, terutama daripada segi kawalan bola dan ketenangan,” ujar Wagner.