Hodgson bidas konsep pecat dalam EPL

By Staff Writer 27 October 2017 165
Hodgson bidas konsep pecat dalam EPL
Pengurus Crystal Palace, Roy Hodgson, mengkritik budaya memecat pengendali pasukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang pertemuan dengan West Ham United, esok.

Bekas ketua jurulatih England itu mengambil-alih jawatan di Selhurst Park pada bulan lalu bagi menggantikan Frank de Boer yang dipecat hanya selepas menerajui pasukan dalam lima perlawanan.

Palace bakal melayan kunjungan West Ham pada hujung minggu dan kemenangan akan merapatkan mereka lima mata daripada zon selamat sementara Slaven Bilic kini semakin tertekan.

Wujud laporan Bilic bakal dipecat Hammers seandainya gagal menundukkan musuh setempat itu walaupun berjaya mengemudi pasukannya bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum menang 3-2 ke atas Chelsea dalam saingan Piala Carabao, awal pagi semalam.

Bagi Hodgson, ia sesuatu yang tidak logik untuk menilai kredibiliti seorang pengurus hanya berpandukan beberapa keputusan.

"Adakah ada bertanya sejauh mana saya faham saya memiliki dua perlawanan untuk menyelamatkan jawatan yang dipegang? Saya tidak faham.

"Pengurus-pengurus cukup bagus untuk mengendalikan sesebuah pasukan atau mereka tidak sebenarnya.

"Anda memenangi atau tewas dalam sesebuah perlawanan adalah berdasarkan nasib. Jika ia ditentukan melalui satu perlawanan, saya tidak akan faham tentangnya," ujar Hodgson.

"Pihak kelab sepatutnya boleh bekerjasama dengan pengurus mereka, kemudian harus menerima bahawa akan ada waktu dalam satu musim mereka akan menang atau kalah."

About Author

Staff Writer

Comment