CRYSTAL PALACE 0 MANCHESTER CITY 0

Roy Hodgson memuji disiplin yang ditunjukkan Crystal Palace ketika mereka menamatkan rentetan 18 kemenangan Manchester City dengan seri 0-0 dalam Liga Perdana Inggeris di Selhurst Park, malam tadi.


Palace melepaskan 10 gol dalam dua pertemuan dengan City sebelum ini dan turun sebagai pasukan bukan pilihan memandangkan prestasi cemerlang yang dimiliki skuad Pep Guardiola itu.

City tidak pernah gagal menjaringkan gol dalam liga sejak seri tanpa jaringan dengan Manchester United pada April tetapi mereka dibelenggu dengan ketumpulan penyudah.

Sergio Aguero, Bernardo Silva dan Leroy Sane mempunyai peluang terbaik, namun Palace tetap utuh dengan Wayne Hennessey menyelamatkan beberapa percubaan.

Satu mata diraih itu mengangkat Palace keluar dari kelompok tiga tercorot di atas West Ham dan Hodgson nyata gembira dengan persembahan pasukannya.

"Pada masa seperti ini, lebih baik memberi tumpuan bagaimana kami bermain dan berikan pujian kepada pemain," katanya dalam sidang media.

"Saya sangat gembira dan bangga dengan persembahan itu. Saya fikir ia sangat baik daripada segi komitmen, fokus dan keinginan mereka. Jika kamu terleka sebentar, mereka akan menghukum kamu."

Palace sepatutnya meraikan kejayaan dramatik ketika Luka Milivojevic mengambil sepakan penalti, namun pemain tengah itu meledak lurus ke arah Ederson sekaligus memudahkan penjaga gol itu menyelamatkan keadaan.

Ia adalah penalti lewat kedua dipersia-siakan Palace pada bulan ini selepas Christian Benteke gagal melakukannya ketika seri 2-2 dengan Bournemouth.

Walaupun kecewa, Hodgson percaya terdapat banyak perkara positif yang boleh dibina Palace apabila mereka bertekad mahu menjauhkan diri daripada kelompok tiga terbawah.

Tambahnya: "Ia adalah satu persembahan yang sangat baik dan jika anda memberi kami satu mata sebelum perlawanan, kami semua akan melompat gembira.

"Apabila anda mendapat penalti lewat dan terlepas peluang itu seperti dilakukan sebelum ini, ia akan ada unsur sedih atau terlepas peluang.

"Tetapi saya beritahu pemain bahawa jika kami bermain baik minggu demi minggu, kami berpeluang cerah untuk kekal berada dalam liga ini," katanya lagi.