Ander Herrera telah dinamakan sebagai Pemain Terbaik Manchester United bagi musim 2016-17, lantas menamatkan dominasi David de Gea.

Penjaga gol, de Gea, telah merangkul anugerah Sir Matt Busby(Pemain Terbaik) itu buat tiga musim berturut-turut sebelum ini, namun dominasinya telah berakhir di tangan pemain tengah Sepanyol, Herrera, semalam.

Pemain berusia 27 tahun itu mengutip 242 undian mengatasi Antonio Valencia -- yang merangkul anugerah Pemain Terbaik Pilihan Pemain -- sementara Zlatan Ibrahimovic ketiga.

"Anugerah ini sangat istimewa bagi saya kerana apabila kamu melihat senarai pemain yang pernah memenangi anugerah ini, kamu sedar betapa pentingnya anugerah ini," kata Herrera.

"Saya juga berjaya menyekat rekod David!"

"Saya merasai sokongan daripada penyokong, jadi saya amat bersyukur tetapi sebagai pemain Manchester United, kami tidak boleh berhenti; kami perlu terus memberikan aksi terbaik kepada penyokong kerana seperti kamu lihat, kami tidak beraksi dengan baik."

Herrera telah menikmati musim terbaiknya di bawah kendalian Jose Mourinho, membuat 31 penampilan di pentas Liga Perdana Inggeris dan 49 dalam setiap kejohanan -- dan meledak dua gol.

Gol Terbaik United menjadi milik Henrikh Mkhitaryan dengan jaringan 'sepakan kala jengking' sementara Axel Tuanzebe muncul Pemain Muda Terbaik bagi skuad simpanan manakala pemain berusia 16 tahun, Angel Gomes, menjadi pemain termuda memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik Jimmy Murphy -- yang pernah dimenangi Ryan Giggs dan Phil Neville.