Ander Herrera berikrar untuk bersaing bagi masa depannya di Manchester United dan menegaskan dia tidak mahu mempersia-siakan masanya bersama kelab itu.

Pemain tengah itu menjadi kunci perancangan pengendali pasukan, Jose Mourinho, berada di dalam kesebelasan utama pasukan bagi enam perlawanan dan menyaksikan prestasi United semakin meningkat.

Herrera, yang sudah bersama United selama dua setengah tahun, berasakan kemampuan kelab untuk menandatangani pemain yang bertaraf dunia bermakna tiada pemain yang boleh berasa selesa dengan kedudukan mereka.

"Saya mahu terus bermain untuk United kerana mereka adalah kelab terbesar di England.

"Kelab ini memiliki kapasiti untuk membawa masuk pemain yang berkualiti dan anda harus sentiasa memberikan yang terbaik untuk kekal di sini.

"Ia bukan satu tugas yang mudah tetapi saya berharap untuk terus berjuang mendapatkan tempat saya."

Herrera berasakan perbezaan yang paling ketara berbanding LaLiga adalah rentak permainan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Rentak permainan di England lebih rancak dan laju berbanding di Sepanyol.

"Gaya permainan Sepanyol dan negara lain lebih taktikal dan cuba untuk bertahan tetapi di England, setiap pasukan mahu menjana serangan dan ia merupakan sesuatu yang sangat menarik."