Jordan Henderson mengejek Harry Kane dan berjenaka tentang Mohamed Salah akan menuntut ketiga-tiga gol dalam kemenangan ke atas Bournemouth.

Kane dan Salah kini bersaing sesama sendiri untuk merebut anugerah Kasut Emas sambil penyerang England itu berada empat gol di belakang pemain sayap Liverpool itu selepas jaringan Christian Eriksen ketika bertemu Stoke City telah diberikan kepadanya.

Salah menjadikan perbezaan jaringan kepada lima selepas tandukan hebat dalam kemenangan 3-0 ke atas Bournemouth lewat malam tadi dan Henderson mengambil peluang itu untuk bergembira dengan situasi tersebut.

"Salah memberitahu saya dia akan meletakkan namanya untuk ketiga-tiga gol," kata Henderson.

"Dia beraksi dengan hebat dan memukau. Dia semakin meningkat dengan usaha di atas padang, pergerakan tanpa bola serta kekuatannya membuatkan Salah menjadi pemain yang besar buat kami dan diharapkan dia akan terus menjaringkan gol."

Dalam masa sama, Henderson masih percaya Kane mampu mencabar Salah untuk anugerah Kasut Emas.

"Anda tidak akan boleh menyekat Kane kerana dia sering menjaringkan gol. Dia mampu menamatkan sesebuah perlawanan dengan hatrik. Sentuhan penyudahnya sama seperti Sergio Aguero."

Seorang lagi pemain yang turut menyindir penyerang utama Spurs itu adalah pemain tengah Liverpool, James Milner.

"Satu lagi hatrik untuk Salah pada hari ini. Hanya tunggu dua lagi gol itu disahkan oleh panel tuntutan," ujar Milner.