Jordan Henderson mempunyai tugas paling sukar dalam bola sepak dunia untuk memikul tugas sebagai kapten Liverpool, menurut pengurus Jurgen Klopp.

Henderson direhatkan dalam kemenangan 7-0 Liverpool ke atas Spartak Moscow dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) pada pertengahan minggu ini selepas dikritik hebat dalam beberapa musim terakhir.

Klopp terpanggil untuk mempertahankan tonggak England itu yang dijangka cergas untuk aksi 'derby' Merseyside dengan Everton di Anfield malam esok dan berasakan beban berat dipikul kelab itu untuk meneruskan legasi Steven Gerrard.

"Ketua pasukan sekalipun tidak dapat bermain sepanjang masa, dia berada dalam keadaan yang baik," katanya.

"Ia masuk akal, saya hanya bercakap tentangnya (Henderson pada hujung minggu) kerana orang akan fikir 'ia cerita yang hebat, jadi buatlah kisah itu'.

"Maaf ... tetapi mereka mengada-adakan cerita (Henderson bukan lagi pilihan utama). Berikan saya satu perkataan selain daripada itu. Dia adalah pemain penting untuk kami, saya tidak tahu mengapa saya perlu mengatakannya.

"Saya tinggal di bandar ini dan saya tahu bualan orang ramai, tetapi menjadi ketua pasukan Liverpool adalah tugas paling sukar dalam dunia bola sepak. Sebelum ini, ia dipikul oleh Steven Gerrard.

"Saya mahu semua orang menghormati Jordan Henderson sebagai kapten kami tetapi itu tidak bermakna dia akan bermain dalam semua perlawanan," tambahnya.