Ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson, memuji Daniel Sturridge dan berharap penggempur itu semakin hampir menemui sentuhan pemusnahnya.

Sturridge yang kembali daripada kecederaan betis, dimasukkan sebagai pemain gantian lalu membuat umpanan untuk Sadio Mane untuk gol tunggal perlawanan pada masa kecederaan pada minit ke-94 ke atas Everton dalam pertemuan Merseyside derby, minggu ini.

Pemain antarabangsa England itu kemarau gol dalam 10 penampilan -- empat daripadanya melibatkan aksi dalam kesebelasan utama -- musim ini.

Namun, Henderson berkata Liverpool sedar keupayaan Sturridge sekiranya dia cergas.

"Kami tahu bakatnya. Semua orang sedar apa yang pemain penting boleh tawarkan kepada kami. Apa yang diperlukan oleh penyerang, dia hebat dalam melakukannya," katanya kepada akhbar di United Kingdom.

"Kami hanya perlukannya untuk kekal cergas. Apabila dia cergas, dia adalah antara yang terbaik dan dia telah membuktikannya.

"Hanya masa akan menentukan bila dia akan kembali menjaringkan gol di liga dan harap-harapnya ia akan menjadi titik tolak kepada rentak jaringannya."

Dengan Roberto Firmino dan Divock Origi menjadi pilihan utama di bahagian penyerang tengah, Sturridge berdepan kesulitan pada musim ini.

Sehubungan itu, laporan mengaitkan pemain berusia 27 tahun itu dengan perpindahan pada Januri. Henderson bagaimanapun berkata Sturridge akan terus memiliki keyakinan.

"Dia kecewa tidak dapat melibatkan diri, namun dia tidak membenarkannya mempengaruhinya dan dia kekal gembira dan tenang.

"Dia aset penting buat kami ketika dia cergas kerana dia memiliki kualiti tinggi."

Liverpool bakal berdepan Stoke City di Anfield pada Selasa depan.