Jordan Henderson mahu Liverpool bangkit selepas seri dengan Leicester City ketika berkunjung ke West Ham, Isnin ini.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu membazirkan peluang untuk mendahului saingan dengan kelebihan tujuh mata apabila seri 1-1 dengan Leicester di Anfield, dengan Harry Maguire menyamakan kedudukan selepas Sadio Mane membuka jaringan pada awal permainan.

Dengan Manchester City tewas kepada Newcastle United, The Reds gagal menggunakan peluang walaupun memiliki kelebihan lima mata.

Henderson menyuarakan kekecewaan yang dipamerkan oleh pengendali pasukan, Jurgen Klopp, tetapi mahu mereka melakukan kebangkitan.

"Kami meraih satu mata, Liverpool perlu bangkit untuk aksi seterusnya," kata Henderson.

"Liverpool bermula baik apabila mendahului perlawanan, namun gagal mengekalkan momentum hingga lawan berjaya menyamakan kedudukan.

"West Ham mampu menghadirkan kesukaran kepada kami.

"Saingan masih panjang dan kami agak kecewa kerana gagal meraih tiga mata. Kami akan mencuba dengan lebih baik untuk aksi seterusnya."