Kapten Liverpool, Jordan Henderson, dijangka kembali daripada kecederaan menjelang perlawanan menentang Manchester United hujung bulan ini.

Pemain berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan tumit ketika melakar kemenangan 1-0 ke atas Manchester City dalam aksi malam tahun baru.

Dia turut terlepas beraksi ketika Liverpool melakar keputusan 2-2 dengan Sunderland dan dijangka tidak akan diturunkan dalam pertembungan Piala FA berdepan Plymouth Argyle dan aksi Piala Liga lawan Southampton.

Namun, pemain antarabangsa England itu akan kembali apabila The Reds bertandang ke Old Trafford pada Januari 15 ini, jelas pengendali, Jurgen Klopp.

"Sebenarnya, ia satu berita baik -- ini kerana kami sering kali dihimpit dengan kecederaan tumitnya, jadi kami terpaksa mengetepikannya buat sementara itu, tetapi kini dia sudah dalam perjalanan untuk kembali," kata Klopp.

"Dia tidak akan beraksi hujung minggu ini dan saya juga tidak akan mengambil risiko untuk menurunkannya apabila berdepan Southampton nanti."

Klopp turut kehilangan khidmat Marko Grujic yang mengalami kecederaan tendon sejak November lalu.

Pengendali Jerman itu berkata pemain berusia 20 tahun itu masih dalam proses pemulihan, namun dijangka akan kembali menyertai latihan dalam masa terdekat.

"Dia dalam perjalanan untuk pulih. Saya rasa hujung minggu ini dia akan kembali menyertai latihan," jelasnya.

"Ia agak sukar kerana kami tidak boleh melakukan terlalu banyak perkara kerana setiap otot pulih dengan cara berbeza.

"Dalam kes ini, pemulihannya mengambil masa yang agak lama. Dia sudah pulih daripada kecederaan, namun belum cukup cergas untuk beraksi."