Eden Hazard mahu tahu siapa individu yang bakal mengendalikan Chelsea musim depan sambil mengatakan keputusan itu akan mempengaruhi masa depannya bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Antonio Conte berada di bawah tekanan tahun ini dan kegagalannya membawa Chelsea ke saingan Liga Juara-Juara Eropah hanya menambahkan kehangatan isu itu.

Bagaimanapun, pengendali dari Itali itu masih memiliki kontrak setahun di Stamford Bridge tetapi Chelsea dikatakan bercadang untuk menggantikannya dengan pengurus baru.

Bekas pengurus Napoli, Maurizio Sarri, muncul nama yang menjadi calon utama, namun khabar angin itu mula lenyap dalam beberapa minggu ini.

Hazard masih memiliki baki dua tahun kontrak bersama The Blues dan kini benar-benar ingin mengetahui apakah hala tuju pasukan itu.

"Ya, saya mahu tahu tentangnya tetapi seperti yang saya katakan, fokus saya hanya untuk Piala Dunia," kata Hazard.

"Jika kami mempunyai pemain atau pengurus baru, semestinya bagus untuk mengetahui tentang perkara itu kerana saya mahukan pemain yang mampu mengembalikan kejuaraan buat Chelsea pada musim depan.

"Bagaimanapun, pasaran perpindahan masih belum bermula. Segalanya akan diketahui nanti."