Bintang Chelsea, Eden Hazard, mentertawakan kritikan yang dilemparkan pengurus pasukan, Maurizio Sarri, sebaik dia menjaringkan gol yang membantu pasukan itu membenam Tottenham Hotspur dalam saingan Piala Liga Inggeris (EFL), awal pagi tadi.

The Blues berdepan kelebihan satu gol yang dibawa pelawat dalam aksi separuh akhir kedua di Stamford Bridge, namun jaringan daripada N'golo Kante dan Hazard memberikan pulangan lumayan buat pasukan itu.

Fernando Llorente kembali mengikat kedudukan agregat dalam separuh masa kedua sebelum Chelsea menyempurnakan keempat-empat sepakan penalti untuk ke final selepas Eric Dier dan Lucas Moura gagal menemui sasaran.

Sarri mempersoalkan tahap mentaliti barisan pemainnya ketika Chelsea tewas 0-2 kepada Arsenal dalam saingan liga minggu lalu.

Hazard turut digelar pemain yang tamak dan tidak memiliki sikap kepimpinan dalam sidang media Sarri sebelum perlawanan di Stamford Bridge, pagi tadi.

Ditanya mengenai kritikan yang dilemparkan pengurusnya itu, Hazard memberikan reaksi kepada Sky Sports dengan jawapan: "Secara jujurnya, saya tidak ambil peduli.

"Saya tidak kisah tentang apa yang diperkatakan pengurus.

"Saya hanya mahu memberikan yang terbaik buat pasukan.

"Itu akan membuatkan saya gembira," katanya.

Chelsea tewas 0-2 kepada Manchester City dalam penentuan Perisai Komuniti awal musim ini.

Mereka kemudian menewaskan skuad kendalian Pep Guardiola itu dengan keputusan sama dalam aksi liga bulan lalu.

"Ia sentiasa sukar. Mereka adalah pasukan terbaik, sama seperti Liverpool dalam Liga Perdana.

"Mereka telah memenangi pelbagai kejuaraan, namun kami juga mempunyai barisan pemain terbaik.

"Kami mempunyai peluang sama rata dalam final menentang mereka nanti," tambahnya.