WEST HAM 1 CHELSEA 2

Pemain terbaik perlawanan, Eden Hazard, menggesa Chelsea supaya mengakhiri perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris dengan seberapa segera selepas memainkan peranan utama dalam kemenangan 2-1 di West Ham.


Hazard membuka jaringan selepas 26 minit, memperagakan kehebatan terbaru serangan balas Chelsea.

Jaringan ke-18 Diego Costa musim ini tiba lima minit selepas rehat dan jaringan saguhati Manuel Lanzini pada masa kecederaan memberikan sedikit saingan di Stadium London.

Skuad Antonio Conte mendahului 10 mata di atas Tottenham yang berada di tempat kedua, manakala Manchester City akan menyasarkan untuk mengurangkan jurang dengan memenangi perlawanan mereka ke atas Stoke City, esok.

"Kami bermain dengan baik -- mungkin bukan yang terbaik musim ini tetapi sekurang-kurangnya kami mencipta beberapa peluang, menjaringkan dua gol dan memenangi perlawanan," kata Hazard.

"Kami berada di atas dan kami mahu kekal di atas. Kami mempunyai baki 11 perlawanan.

"Kami akan cuba untuk memenangi kejuaraan secepat mungkin. Kami mahu gelaran kembali di Stamford Bridge. Ini adalah sasaran kami musim ini."

Chelsea terlepas gelaran liga musim lalu tetapi Anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA dan Penulis Bola Sepak 2014-15, Hazard, adalah simbol kebangkitan mereka di bawah kepemimpinan Conte, dengan memainkan peranan di belakang penyerang prolifik, Costa.

"Ia lebih mudah bagi saya untuk bermain berhampiran dengan Diego (Costa) dan berhampiran dengan gol," jelasnya.

"Kadang-kadang apabila saya bermain di bahagian sayap, saya bersendirian dan jika saya mahu menjadi penentu, saya perlu menggelecek untuk melepasi satu atau dua pemain.

"Dalam sistem ini, kami tahu apa yang perlu dilakukan.

"(Conte) adalah bagus untuk pasukan -- seorang pengurus yang hebat, karektor yang hebat. Dia banyak membantu."