CHELSEA 2 WEST HAM 0

Eden Hazard menegaskan fokusnya adalah semata-mata terhadap Chelsea sambil menyangkal ejekan penyokong West Ham bahawa dia sedang menuju ke Real Madrid.


Hazard menyinar dalam pertemuan di Stamford Bridge, awal pagi tadi, dengan mencetak jaringan melalui gerakan solo yang luar biasa dalam babak pertama sebelum melakukan sentuhan pemusnah klinikal pada minit ke-90 untuk mencetuskan inspirasi kemenangan 2-0 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain berusia 28 tahun itu beraksi cemerlang di sebalik spekulasi yang kembali hangat berkaitan minat daripada Madrid yang telah dikaitkan dengannya sejak Piala Dunia di Russia, tahun lalu.

Pemain antarabangsa Belgium berkenaan tidak pernah menyembunyikan keinginannya untuk berpindah menyertai juara Eropah itu, namun menyampaikan mesej yang jelas buat peminat The Hammers yang bersorak 'dia akan ke Madrid'.

"Mereka silap," kata Hazard kepada Sky Sports.

"Buat masa ini, tumpuan saya hanya kepada Chelsea sehingga akhir musim ini. Saya mahu menamatkan musim ini dalam kelompok empat teratas selain beraksi baik dalam Liga Europa, seterusnya kita akan lihat hasilnya."

Dengan Chelsea merekodkan rentetan tiga kemenangan, ia satu prestasi yang mengangkat mereka ke tangga ketiga EPL.

Hazard memberikan persembahan bertenaga dalam kemenangan awal pagi tadi apabila membuka jaringan pada minit ke-24 dengan menggelecek barisan pertahanan West Ham sebelum menyusup ke dalam petak penalti.

"Ia adalah sesuatu yang istimewa," katanya.

"Saya mengawal bola itu dan apabila saya boleh maju ke hadapan, saya akan terus mencubanya dan sebaik memasuki kotak penalti, adalah sukar buat pertahanan untuk melakukan terjahan kerana jika mereka membuat sentuhan ke atas saya, ia boleh menjadi penalti.

"Ia satu jaringan yang bagus.

"Saya fikir kami beraksi dengan baik, ia bukan perlawanan yang mudah kerana West Ham merupakan sebuah pasukan yang hebat.

"Bagaimanapun, kami memberikan segala-galanya, kami mencipta banyak peluang dan menghasilkan dua gol yang hebat," katanya.