Pemain Chelsea, Eden Hazard, mengatasi bintang Manchester City, Kevin De Bruyne, untuk menggondol Anugerah Pemain Terbaik Devil atas sumbangan besarnya untuk Belgium sepanjang 2017.

De Bruyne memainkan peranan penting untuk The Citizens memimpin Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini dengan menjaringkan enam gol selain mencipta sembilan peluang gol dalam 21 perlawanan.

Namun, peminat Belgium percaya Hazard menikmati tahun yang lebih baik di peringkat antarabangsa apabila membantu mereka melayakkan diri ke Piala Dunia di Russia.

Hazard hanya membuat lima penampilan bersama Belgium pada 2017 berbanding lapan perlawanan oleh De Bruyne, namun bintang Chelsea itu mempamerkan beberapa persembahan baik, mencetak tiga gol serta mencipta dua bantuan jaringan.

Dia meraih kemenangan itu dengan 10,280 undi, lebih dua kali ganda daripada undian yang diterima De Bruyne -- 4,710 undian -- manakala Romelu Lukaku berada dalam kalangan tiga pemain terbaik dengan 3,223 undian.