Eden Hazard sedar dia perlu menyinar dalam pertembungan pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) menentang Barcelona, awal pagi esok sekiranya berhasrat berdiri setaraf dengan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Hazard mempamerkan aksi memukau ketika membantu Chelsea memenangi Liga Perdana pada musim 2015 dan 2017, bagaimanapun perancang Belgium itu masih mencari rentak di pentas Eropah.

Bercakap dalam sidang media menjelang lawatan Barcelona ke Stamford Bridge, Hazard mengingatkan pemberita tentang persembahan baiknya ketika menghadapi Atletico Madrid di peringkat kumpulan musim ini, namun sedar di mana tempatnya sepatutnya berada.

"Saya pernah menghadapi Messi sekali dalam Piala Dunia, iaitu menentang Argentina dan kami kalah. Saya harap keputusan esok berbeza," kata pemain berusia 27 tahun itu, yang mengingatkan kekecewaan Belgium dalam Piala Dunia Brazil 2014.

"Sukar untuk membandingkan di antara Messi mahupun Ronaldo tetapi saya berbeza.

"Kami bermain dalam liga yang berbeza, saya cuba untuk melakukan tugas saya dan mencapai tahap seperti mereka kerana mereka adalah yang terbaik di dunia. Setiap musim, saya cuba melakukan yang terbaik.

"Apabila kami beraksi dalam perlawanan ini, kami perlu menjelmakannya. Jika anda mahu menjadi salah seorang yang terbaik, anda perlu bermain dengan baik dalam permainan besar.

"Dalam setiap perlawanan, saya cuba menghasilkan aksi terbaik. Tahun lalu, kami tidak bermain dalam UCL, namun kami kembali pada tahun ini dan saya bermain bagus dalam beberapa permainan -- Atletico Madrid, AS Roma, Madrid.

"Anda mahu menyinar ketika bermain menentang pasukan terbaik dunia. Jika saya mahu mencapai tahap itu, saya perlu mempamerkan permainan yang hebat esok."

Bukan kali pertama spekulasi perpindahan baru-baru ini mengaitkan Hazard ke seteru utama Barca, Real Madrid, pada hujung musim ini.

Hazard menegaskan gembira di Chelsea dan jika dia terikat dengan Madrid sekalipun, dia tetap menganggap Barca sebagai sebuah pasukan luar biasa -- berulang kali menyebut Barca salah sebuah pasukan terbaik dunia -- tidak dapat disangkal lagi.

"Pertama, saya fokus kepada permainan esok, kami akan menghadapi Barca," katanya mengenai Los Blancos.

"Saya telah bersama Chelsea selama enam tahun, saya gembira di sini, seperti yang anda katakan, saya masih mempunyai baki dua tahun kontrak lagi.

"Saya gembira di sini, keluarga saya gembira di sini. Ketika ini, saya hanya memberi tumpuan kepada permainan dan kempen musim ini.

"Saya tidak fikir tentang masa depan kerana anda tidak pernah tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, apapun saya gembira di sini."