Bintang Chelsea, Eden Hazard, bagaikan tidak mahu khabar angin yang mengaitkannya dengan Real Madrid menjadi reda dengan menyatakan kegembiraannya melihat Zinedine Zidane kembali ke Santiago Bernabeu.

Hazard terus dikaitkan dengan Madrid dalam tempoh beberapa bulan terakhir -- laporan menunjukkan gergasi LaLiga berkenaan telah lama mengenal pastinya sebagai pengganti ideal kepada Cristiano Ronaldo.

Spekulasi itu terus hangat diperkatakan sejak Zidane kembali ke pangkuan kelab berkenaan sebagai pengurus, bulan lalu, bagi menggantikan Santiago Solari yang dipecat.

Sebelum ini, Hazard meluahkan keinginannya untuk bermain di Madrid sementara pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, mengakui sukar untuk mengekalkan tonggak Belgium itu jika dia ingin pergi.

Berdasarkan penilaian terbaru Hazard itu, kembalinya Zidane mungkin akan menjadi penentu kepada perpindahan pemain sayap itu.

"Saya bukannya pemain Real Madrid tetapi sebagai peminat Zidane, saya sangat gembira beliau kembali kerana bola sepak memerlukan Zidane," kata Hazard kepada RMC Sport.

"Ia perkembangan yang bagus buat Real, begitu juga dengan penyokong mereka tetapi tidak bagi pasukan lain memandangkan Real Madrid memenangi banyak kejuaraan di bawah kendalian Zinedine. Ia situasi yang sukar."

Hazard enggan mengulas panjang lebar mengenai masa depannya sambil memberi bayangan bahawa tempohnya di Chelsea semakin terhad.

"Masa depan saya bukanlah sesuatu yang saya ingin kongsikan ketika ini. Terdapat khabar angin di sekeliling tetapi bagi saya, saya mempunyai tempoh selama sebulan lagi untuk bersama Chelsea," tambahnya.

"Akhir musim ini boleh bertukar menjadi detik indah jika kami memenangi Liga Europa dan layak ke Liga Juara-Juara (UCL) pada musim depan.

"Kami perlu berikan segala-galanya dan dan selepas itu, sama-samalah kita lihat apa yang akan berlaku," katanya.