Penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois, bakal mengadakan perbincangan kontrak baru bersama pasukan, namun memberi bayangan untuk kembali beraksi dalam saingan La Liga.

Courtois dipinjamkan selama tiga musim bersama Atletico Madrid selepas menyertai Chelsea dari Genk dan dalam tempoh itu, dia membantu skuad Rojiblancos menjulang kejuaraan liga serta layak ke final Liga Juara-Juara Eropah bagi musim 2013/14.

Aksi cemerlang penjaga gol berusia 25 tahun itu meletakkannya selaku pilihan utama di Stamford Bridge sehingga menarik perhatian Real Madrid untuk mendapatkan khidmatnya dan dia mengakui kepulangan ke Madrid tidak mustahil.

"Situasi peribadi saya mempunyai kaitan dengan bandar Madrid," kata Courtois kepada Sport/Foot Magazine.

"Dua anak saya tinggal di sana bersama ibu dan kami berhubung melalui panggilan video hampir setiap hari. Dia kerap menyatakan rasa rindu kepada saya.

"Tidak kira bila masa, saya akan kembali ke Sepanyol jika berpeluang. Ia tidak selalunya mudah dan ya, hati saya berada di Madrid. Ia mudah untuk difahami.

"Jika Real Madrid mahukan khidmat saya, mereka perlu menghubungi Chelsea dan sehingga kini masih belum ada sebarang panggilan. Apa yang pasti, saya akan pulang ke Sepanyol satu hari nanti.

"Saya sedar akan spekulasi yang wujud dan ramai orang memperkatakan tentang penjaga gol baru buat Real Madrid tetapi fokus saya tetap bersama Chelsea," katanya.

Madrid juga dilaporkan berminat untuk mendapatkan rakan sepasukan Courtois di Chelsea dan Belgium, Eden Hazard, selepas kontrak sedia ada pemain sayap itu masih belum diperbaharui.

Bagaimanapun, Courtois yakin The Blues akan berjaya mencapai persetujuan dengan bekas pemain Lille itu.

"Saya dan Chelsea telah bersetuju untuk menyambung perbincangan pada bulan ini selepas pihak pasukan mahu menyelesaikan beberapa perkara pada bulan lepas.

"Tiada apa yang perlu dikejarkan kerana kontrak saya sehingga 2019. Tiada sebarang masalah. Keinginan Chelsea untuk memperbaharui kontrak Hazard juga memainkan peranan besar buat saya," tambahnya.