Joe Hart gembira dengan penampilan pertamanya bersama Burnley selepas The Clarets mencatat keputusan seri 0-0 dalam aksi pertama kelayakan Liga Europa berdepan Istanbul Basaksehir, awal pagi tadi.

Hart menyertai Burnley daripada juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City, menerusi kontrak dua tahun Selasa lalu dan terus diserapkan ke dalam skuad utama ketika kunjungan ke Turki memandangkan kecederaan yang melanda Tom Heaton, Nick Pope dan Anders Lindegaard.

Pemain berusia 31 tahun itu menggunakan kesempatan tersebut untuk menyinar dengan membantu Burnley tidak dibolosi, sekali gus memberikan permulaan memberangsangkan sebelum aksi kedua di Turf Moor.

Bekas penjaga gol utama England itu yang menghabiskan saingan musim lalu dipinjamkan ke West Ham United, ternyata gembira dengan persembahan The Clarets.

"Saya sukakannya. Saya tidak pasti apa yang akan berlaku dengan saya dalam perlawanan ini," katanya.

"Saya hanya bersama pasukan beberapa hari lalu tetapi Lindegaard mengalami sedikit kecederaan sehingga memberikan laluan buat saya. Saya benar-benar menikmatinya.

"Saya lihat pemain-pemain lain turut menikmati aksi ini dan menampilkan semangat di pentas Eropah. Keputusan di tempat lawan sangat penting dan saya rasa kami sedar ketika perlawanan berbaki 10 atau 12 minit, kami mengawal benteng.

"Tentunya saya sukakan aksi di Eropah. Liga Perdana Inggeris sangat hebat tetapi jika anda pernah menikmatinya, ia adalah sesuatu yang tidak boleh dilepaskan. Saya rasa pihak kejurulatihan pasti risau memandangkan saya hanya beraksi dalam satu perlawanan.

"Namun, saya meyakinkan mereka bahawa saya telah bersedia untuk bermain dan berasa bagus. Pemain-pemain pertahanan lain juga menyukarkan lawan untuk melakukan sebarang percubaan dan apabila mereka melakukannya, tugas saya adalah menghalangnya."