Jurgen Klopp menafikan Liverpool akan membuat tawaran ke atas penjaga gol England, Joe Hart, pada akhir musim ini.

Hart kini dipinjamkan ke Torino dalam kancah Serie A, dengan prospek masa depannya bersama kelab asal, Manchester City, semakin suram di bawah pengurusan Pep Guardiola walaupun mempunyai kontrak sehingga 2019.

Liverpool adalah antara beberapa kelab terkemuka Inggeris yang dikaitkan dengan pemain berusia 30 tahun itu dan The Sun melaporkan minggu ini, Klopp bersedia menandatanganinya dengan nilai GBP20 juta, setelah taruhannya, Simon Mignolet dan Loris Karius, gagal menghadirkan keyakinan.

Bercakap dalam sidang akhbar sempena menghadapi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Crystal Palace, Ahad ini, Klopp mengambil peluang itu untuk menafikan khabar angin mengenai kedudukan penjaga golnya.

"Perkara yang janggal tentang penjaga gol, walaupun anda tidak menyebut namanya ... adakah ia mengenai Joe Hart?

"Kami biasanya tidak bercakap tentang perkara-perkara seperti ini tetapi dalam kes tertentu, saya fikir kami boleh. Dia merupakan seorang penjaga gol yang hebat dan pemain kebangsaan England, jadi dia memiliki kualiti tinggi.

"Tetapi, kami telah mempunyai penjaga gol yang berkualiti tinggi. Itulah situasinya. Dia bukan untuk kami -- dia tidak ada dalam radar kami dan diharapkan tidak pada masa akan datang. Ia bukan berkenaan Joe.

"Kami sudah mempunyai dua penjaga gol mantap dan (Danny) Ward yang sedang beraksi di Huddersfield turut mengharungi musim cemerlang. Dia adalah pemain kami, kami akan membawanya kembali pada musim depan dan akan mewujudkan persaingan.

"Pemain-pemain muda mempamerkan perkembangan pesat dan situasi penjaga gol kami dalam keadaan baik. Saya faham soalan ini, tetapi saya tidak boleh memberikan jawapan seperti yang dihajati beberapa pihak."