Harisson meninggal dunia pada usia 81 tahun

By Staff Writer 14 February 2019 1351
Harisson meninggal dunia pada usia 81 tahun
Bekas jurulatih skuad remaja Manchester United yang bertanggungjawab melahirkan generasi 'Class of '92', Eric Harrison, meninggal dunia pada usia 81 tahun.

Perkara itu diumumkan pasukan berkenaan hari ini.

Selepas beraksi dengan kelab divisyen bawah dari 1957 hingga 1972, Harrison menyertai United pada 1981 dan bertanggungjawab menyelia skuad remaja pasukan itu sewaktu era Ron Atkinson.

Dia dikekalkan sewaktu Alex Ferguson dilantik sebagai pengganti Atkinson dan dalam tempoh lima tahun selepas itu, dia membantu United menghasilkan era paling cemerlang dalam sejarah kelab berkenaan.

Sewaktu melatih skuad remaja pasukan itu, Harisson memantau perkembangan sekumpulan pemain muda yang kemudian dikenali sebagai 'Class of '92' atau "Fergie's Fledglings".

David Beckham, Nicky Butt, Gary Neville, Ryan Giggs, Phil Neville dan Paul Scholes kesemuanya di bawah pemerhatian Harrison ketika empat daripada mereka merupakan sebahagian daripada skuad juara Piala FA Remaja pada 1992.

Garry Neville memberikan penghormatan buat Harisson dengan menyenaraikan jasa dan sumbangan individu itu terhadap perkembangan bakat asli United.

"Kami kehilangan mentor, jurulatih dan individu yang membentuk kami," tulisnya dalam laman Twitter.

"Dia mengajar kami tentang bagaimana untuk bermain, bagaimana untuk tidak mengaku kalah, kepentingan untuk memenangi persaingan individu dan apa yang kami perlu lakukan untuk mewakili Manchester United."

Adik kepada Neville, Phil, turut menghormati sumbangan Harisson yang membantunya memenangi Piala FA Remaja pada 1995.

"Dia sentiasa memerhati dan ada bersama kami setiap kali kami beraksi," katanya dalam Instagram.

"Apa yang paling penting, dia mengajar kami untuk bekerja keras dan saling menghormati bukan sahaja di atas padang.

"Kami tidak akan lupa setiap pengajaran yang diberikannya.

"Eric, kami sayang kamu dan terhutang dengan kamu terhadap segala-galanya."

Sebagai rekod, Darren Fletcher dan Wes Brown adalah antara pemain lain yang lahir daripada pasukan yang dikendalikan Harisson.

About Author

Staff Writer

Comment