Hanya United, Tottenham pilihan buat Bale -- Rush

By Staff Writer 15 June 2019 4705
 Hanya United, Tottenham pilihan buat Bale -- Rush
Manchester United dan Tottenham merupakan satu-satunya pilihan realistik buat Gareth Bale untuk berpindah ke Liga Perdana Inggeris (EPL), kata Ian Rush.

Bale semakin tersisih di Real Madrid setelah gagal mengukuhkan tempatnya dalam kesebelasan Los Blancos sejak Zinedine Zidane kembali mengendalikan kelab itu.

Penyerang Wales itu merupakan pemain gantian yang tidak digunakan dalam kekalahan terakhir Madrid kepada Real Betis di tempat sendiri sambil Zidane memberitahu tidak akan menurunkan pemain berusia 29 tahun itu meskipun masih boleh membuat pertukaran pemain.

Madrid telah berbelanja besar untuk membawa masuk Eden Hazard bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Cristiano Ronaldo manakala Luka Jovic dipancing daripada Eintracht Frankfurt untuk meningkatkan lagi pilihan di bahagian serangan. 

Justeru, masa depan Bale di kelab itu dalam keraguan biarpun ejennya mencadangkan bahawa bekas pemain sayap Tottenham itu, yang menyumbat lapan gol LaLiga pada 2018-19, komited sepenuhnya untuk mengakhiri kontraknya di Madrid.

Bagaimanapun, ikon Wales tersebut berharap Bale akan kembali ke EPL sambil mencadangkan Spurs dan United mungkin satu-satunya pasukan yang akan membuat langkah untuk memancing rakan senegaranya itu. 

"Selain daripada itu, di manakah anda melihatnya?" ulas bekas penyerang Liverpool dan Juventus itu kepada BBC Sport.

"Melihat kepada situasi Manchester United musim lalu, ketika itu saya fikir dia akan menuju ke arah itu.

"Apabila sebuah kelab mahu menyingkirkan anda sedangkan dia pula mahu kekal, ia situasi yang sangat sukar dan saya memahaminya kerana seperti yang saya katakan sebelum ini, penyokong Real Madrid harus menyanjunginya. 

"Setiap pengurus mempunyai cara yang berbeza. Anda mengharapkan Gareth untuk kembali menyerlah, mudah-mudahan dalam EPL, kerana semua orang mahu melihat aksinya. 

"Dalam dua perlawanan melibatkannya dengan Wales, dia tenggelam tetapi adakalanya pemain paling hebat sekalipun akan memperagakan beberapa aksi yang buruk.

"Dia masih boleh bermain di tahap tertinggi selama beberapa tahun lagi dan ia bergantung kepada kelab mana yang mahu merekrutnya."
 

About Author

Staff Writer

Comment