Khidmat Naby Keita berbaloi untuk dilaburkan sebanyak GBP70 juta (RM389.9j) andai Liverpool memutuskan untuk mengatasi rekod pembelian termahal kelab itu bagi mendapatkan pemain tengah RB Leipzig berkenaan.

Demikian pandangan yang dilontarkan bekas pemain utama di Anfield, Dietmar Hamann, yang percaya pemain antarabangsa Guinea itu sudah bersedia untuk memikul tanda harga itu.

Keita kerap dikaitkan ke Merseyside, dengan Jurgen Klopp begitu berminat terhadap pemain berusia 22 tahun itu.

Justeru, Hamann menggesa The Reds agar mengambil risiko itu dalam persiapan mereka untuk kembali ke Liga Juara-Juara.

"Adakah nilai GBP70j akan mengundurkan saya daripada membeli Keita? Tidak," kata pemain kelahiran Jerman itu kepada Liverpool Echo.

"Hanya dengan beraksi dalam pusingan play-off dan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, cukup untuk menampung dana itu.

"Dengan kehadiran Keita, Liverpool akan mempunyai peluang lebih cerah untuk layak.

"Anda boleh mempersoalkan yuran terhadap Virgil van Dijk dan Keita tetapi jika anda mahukan pemain hebat, anda perlu membayar mengikut harga semasa.

"Dengan USD30j, anda tidak akan dapat memiliki pemain seperti itu.

"Kalau Liverpool perlu membayarnya untuk mendapatkan Keita, ia tidak membimbangkan saya. Anda membuat pembelian untuk masa depan."

Terdahulu, Klopp sudah mengesahkan khidmat Mohamed Salah dari ROma.