Ilkay Gundogan bersedia untuk meningkatkan mutu persembahannya dan membantu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh nadi Manchester City, Kevin De Bruyne, selepas pemain Belgium itu mengalami kecederaan lutut sehingga memaksanya menggunakan tongkat.

Semalam, City mengesahkan De Bruyne ditimpa kecederaan semasa berlatih dan dia akan dihantar untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Mereka menolak untuk memberikan sebarang tanggapan awal atau meramalkan berapa lama pemain tengah itu perlu berehat, namun laporan awal mendakwa masalah itu melibatkan ligamen dan dia mungkin diketepikan sehingga tiga bulan.

Sekiranya spekulasi itu terbukti tepat, juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menerima tamparan awal, namun Gundogan -- yang hanya memulakan separuh daripada 30 penampilannya musim lalu dalam kesebelasan utama -- menganggap dia mampu menggalas beban untuk menggantikan tempat rakan sepasukannya itu.

"Ya, saya berasa cergas -- mungkin kerana Piala Dunia Russia juga sangat singkat untuk kami (Jerman), malangnya," kata Gundogan kepada Omnisport.

"Tetapi, saya rasa sudah bersedia, saya dapat bermain hampir penuh musim lalu selepas ditimpa kecederaan besar.

"Pada akhirnya, saya melihat kepada statistik dan saya beraksi kira-kira 50 perlawanan pada musim lalu.

"Sehubungan itu, saya harap ini akan menjadi kempen yang serupa, terutama daripada segi cara kami bermain dan meraih kemenangan."

Bagaimanapun, Gundogan berharap De Bruyne akan kembali tidak lama lagi selepas memainkan peranan penting ketika mereka merakamkan kejayaan musim lalu.

"Sebenarnya, saya tidak nampak apa yang berlaku kerana ia di belakang saya," katanya. "Sudah tentu, kami berharap bahawa ia tidak terlalu serius kerana Kevin memberi impak besar kepada kami, khususnya musim lalu.

"Dia sangat penting -- tonggak penting untuk kami, jadi kami harap dia dapat kembali secepat mungkin."

Pemain tengah, Fernandinho, percaya De Bruyne tidak mengalami kecederaan terlalu serius dan sependapat dengan Gundogan mengenai kelibat tonggak berusia 27 tahun itu.

"Dia baik-baik saja. Kami tidak tahu apa yang telah berlaku dan sebaik sahaja doktor mengenal pastinya, maka barulah kami akan tahu perkembangannya," kata Fernandinho.

"Sudah tentu, dia sangat penting buat kami pada musim lalu dan saya harap dia dapat pulih secepat mungkin untuk beraksi."