Ilkay Gundogan melihat rakan sepasukannya di Manchester City, David Silva, dengan penuh kagum dan berpendapat mana-mana pemain akan mempelajari sesuatu apabila melihat aksi perancang Sepanyol itu.

Silva menyertai City pada 2010 selepas mengharungi tempoh cemerlang dalam LaLiga bersama Valencia sehingga membuatkan The Citizens berbelanja sebanyak GBP25 juta (RM131 juta) bagi mendapatkannya.

Kehadirannya mencetuskan persoalan bagaimana dia akan menyesuaikan diri dalam Liga Perdana Inggeris yang tampak lebih mempertaruhkan aspek fizikal, namun dia memadamkan segala kegusaran terhadapnya.

Pemain berusia 33 tahun itu pantas menjadi tonggak utama pasukan sehingga sesetengah pemerhati bola sepak berpendapat dia merupakan pemain asing terbaik dalam Liga Perdana Inggeris.

Dan Gundogan percaya rakan sepasukannya itu layak menjadi contoh buat semua.

"Anda lebih banyak belajar tentang bola sepak secara umum apabila melihat pemain seperti Silva," ujar Gundogan.

"Dia hebat dalam melakukan gerakan badan, membuat keputusan serta hantaran. Jika anda berdepan pemain tengah seperti Silva, anda tidak akan mahu menjadi pemain pertahanan.

"Tidak kira sama ada anda berdepan dengannya dalam situasi satu lawan satu atau secara gerakan hantaran, kedua-duanya tetap sukar.

"Namun, perlu berhati-hati kerana anda pastinya tidak mahu meniru segala perkara yang ada pada seseorang pemain atau mungkin ia tidak sesuai dengan anda."

Dalam masa sama, Gundogan turut memuji bekas rakan sepasukannya di Borussia Dortmund, Mario Gotze.

"Ada seorang pemain, iaitu Gotze, yang saya lihat begitu memukau ketika latihan," tambah Gundogan.

"Semua orang berfikir apa yang sedang dia lakukan. Sewaktu saya mula berlatih di Dortmund, Gotze begitu hebat sehingga membuatkan saya terpaku.

"Anda sukar untuk mendapatkan bola daripadanya. Saya sering cuba bertahan ketika berdepan dengannya. Sukar untuk memisahkan bola daripadanya, tidak kira ketika di udara atau menggunakan kaki.

"Gotze sentiasa membuat keputusan tepat sewaktu menggelecek atau melakukan hantaran."