Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, enggan mengkritik barisan pengadil perlawanan selepas skuad kendaliannya seri 1-1 dengan Wolverhampton.

Terselamat daripada jaringan ofsaid Raul Jimenez, City terlepas peluang untuk mendahului perlawanan apabila percubaan Sergio Aguero dan Raheem Sterling terkena palang gol.

Tetapi Wolves mendahului selepas minit ke-12 dalam separuh masa kedua menerusi Willy Boly yang menyempurnakan hantaran silang Joao Moutinho dengan menggunakan tangannya.

City dinafikan sepakan penalti apabila David Silva diterjah dalam kotak penalti sebelum gol penyamaan mereka hadir menerusi tandukkan Aymeric Laporte.

Percubaan Aguero sekali lagi terkena palang pada penghujung permainan, sekali gus terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Mengharungi aksi yang mengecewakan dalam perlawanan ketiga, Guardiola, yang bertukar kata-kata dengan pengadil perlawanan, Martin Atkinson, di padang selepas perlawanan, tidak menyalahkan mereka di sebalik keputusan itu.

"Ia bukan masalah saya. Liga Perdana Inggeris (EPL) akan membuat keputusan bila Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) akan digunakan di sini," kata Guardiola.

"Saya hanya memberikan pujian kepada Atkinson, itu sahaja.

"Perlawanan ini berlangsung seperti yang dirancang. Saya tidak terkejut tetapi berpuas hati dengan peluang yang telah dihasilkan.

"Musim lalu berdepan formasi 5-4-1, kami memiliki masalah menghasilkan peluang. Dalam perlawanan ini, percubaan kami tiga kali terkena palang dan penjaga gol lawan menafikan gol kami.

"Kebiasaannya, kami dapat mengawal serangan balas dengan baik tetapi gagal melakukannya, jadi satu mata yang diraih sudah memadai," katanya lagi.