Pep Guardiola tidak mahu bercakap tentang kemungkinan Manchester City akan mendapatkan
khidmat pemain Arsenal, Alexis Sanchez, selepas pasukannya tewas 3-4 di Anfield, awal pagi tadi.


Penyerang Chile itu kini hanya mempunyai kontrak berbaki enam bulan lagi bersama Gunners,
sekaligus mencerahkan peluang untuk City meraih khidmatnya walaupun laporan mengatakan
bahawa Manchester United lebih berpeluang cerah untuk mendapatkan tandatangan Sanchez.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, semalam menyifatkan Sanchez kini "separuh" bersama Arsenal
selepas tidak disenaraikan dalam aksi bertemu Bournemouth yang berakhir dengan pasukan bimbingannya
tewas 1-2.

"Anda tahu saya akan menjawab bahawa Sanchez milik Arsenal," kata Guardiola dalam sidang
media selepas rekod tanpa kalah pasukannya tamat di Anfield susulan kekalahan 3-4.

"Saya tidak bercakap mengenai pemain yang tidak berada dalam pasukan sekarang. Hari ini bukan
hari yang baik.

"Kami memiliki pasukan yang cukup. Saya tidak tahu apa akan berlaku ketika jendela perpindahan
bulan ini tetapi jika kami perlu menamatkan kempen dengan pemain sedia ada, kami akan
melakukannya.

"Jika kami boleh membeli pemain baru disebabkan menghadapi banyak kejohanan dan perlawanan,
kami akan cuba," tambahnya.

Guardiola juga menafikan kekalahan liga pertama itu akan menyebabkannya terpaksa menyertai
pasaran perpindahan pemain bagi mendapatkan khidmat tenaga baru.

"Saya tidak rasa kami akan melakukannya disebabkan keputusan hari ini.

"Selepas kekalahan ini, kami hanya akan memikirkan apa yang perlu dilakukan dan percaya," tambahnya.