Pep Guardiola tidak menolak cadangan untuk membawa Riyad Mahrez ke Manchester City selepas terdapat khabar angin yang menyatakan mereka bakal mendapatkan khidmat bintang Leicester City itu sebelum berakhirnya jendela perpindahan bulan ini.

City yang baru sahaja menyempurnakan perpindahan pertahanan Athletic Bilbao, Aymeric Laporte, yang bernilai GBP57 juta (RM314 juta), dijangka membawa masuk Mahrez pula pada kadar segera.

Pemain sayap skuad kebangsaan Algeria itu merupakan pemain berpengaruh ketika The Foxes muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi musim 2015-16 tetapi masa depannya sentiasa menjadi tanda tanya dan City telah dilaporkan berminat mendapatkan khidmat pemain berusia 26 tahun itu.

Guardiola menegaskan beliau berminat dengan beberapa lagi pemain yang mahu dibawa masuk ke Stadium Etihad bagi menghadapi baki saingan musim ini.

"Saya berminat dengan ramai pemain, mereka adalah dalam kalangan yang terbaik," katanya.

"Buat masa ini, jendela perpindahan masih dibuka. Kami telah berbincang dengan kelab dan akan melakukan yang terbaik."

Gabriel Jesus masih lagi tidak dapat beraksi kerana masalah lutut yang dihadapi sebelum ini, dengan Guardiola menyifatkan beliau enggan terburu-buru untuk menurunkan pemain kebangsaan Brazil itu, sebaliknya mahu dia pulih sepenuhnya.

"Jesus mungkin akan kembali pulih dalam tempoh lima atau enam minggu lagi. Buat masa ini, kami kekurangan pemain untuk beraksi dalam tempoh tiga hari.

"Kami akan mencari jalan penyelesaian. Kami mengharungi musim ini tanpa pemain bek kiri. Benjamin Mendy terpaksa berehat panjang."