Pengendali Manchester City, Pep Guardiola, tidak terkejut dengan kemampuan Gabriel Jesus untuk menyaingi aspek fizikal dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Penyerang Brazil itu telah pun membuat impak ketika berdepan Crystal Palace dan West Ham.

Pemain berusia 19 tahun itu telah pun meledak gol ketika membuat penampilan pertama dalam kesebelasan utama ketika melakar kemenangan 4-0 ke atas West Ham di Stadium London sebelum ini.

Aksinya yang gemar menewaskan barisan pertahanan lawan dengan pengawalan bola mantap dan corak permainan agresif telah membuka mata semua pihak.

Guardiola -- yang pernah beraksi di samping bintang Brazil, antaranya Romario dan Rivaldo ketika di Barcelona -- berkata dia tidak terkejut dengan kekuatan fizikal yang dimiliki pemain Brazil kerana ia merupakan salah satu bakat dimiliki pemain negara.

"Setiap kali kamu mendapatkan seorang pemain, kamu mahukan yang terbaik dan mengharapkan mereka mampu menyesuaikan diri dengan cepat tetapi kita tidak akan tahu sehingga pemain itu turun beraksi," kata Guardiola dalam sidang media menjelang aksi berdepan Swansea esok.

"Selepas hanya tiga perlawanan, kami tahu dia (Jesus) memiliki kekuatan fizikal.

"Dia baru berusia 19 tahun. Ramai yang bercakap tentang kehebatannya mengawal bola tetapi selepas beraksi bersama ramai pemain Brazil dalam karier saya sebelum ini, saya mendapati mereka memiliki tubuh badan yang kuat.

"Fernando dan Fernandinho antara contoh terbaik. Mereka miliki tubuh badan yang mantap. Jadi, kami tidak pernah mempersoalkan keadaan fizkal Jesus."

Pada masa sama, Guardiola turut memuji Jesus yang tekun mempelajari bahasa Inggeris.

"Selepas dua hari berada di sini, dia meminta untuk menyertai kelas bahasa Inggeris."