Pep Guardiola menyifatkan pemainnya sebagai wira dan tidak mahu menyalahkan skuad bimbingannya susulan kekalahan berturut-turut yang dialami Manchester City tatkala mereka mempersiapkan diri untuk berdepan Southampton malam ini.

City tewas 3-2 di tangan Crystal Palace di laman sendiri sebelum dikalahkan Leicester City 2-1 dan kini terdesak untuk kembali ke landasan kemenangan dalam aksi di St Mary malam ini bagi mengelakkan daripada terus ketinggalan di belakang Liverpool yang berada di puncak liga.

Juara bertahan itu bakal berdepan pasukan kendalian Jurgen Klopp itu minggu depan dan Guardiola tetap yakin dengan kekuatan pasukannya walaupun mengakui kehebatan The Reds.

"Saya menerima situasi ini," kata Guardiola.

"Saya sangat kenal pemain saya dan jika anda rasa saya akan meragui mereka walaupun sesaat, anda salah. Bagi saya, mereka adalah wira.

"Pertama sekali, saya berdiri di depan cermin dan tidak menuding jari kepada mereka. Saya memberitahu diri sendiri bahawa saya perlu membantu mereka.

"Ia adalah peluang terbaik buat saya. Saya tidak kata saya suka situasi ini tetapi ia sesuatu yang biasa dalam bola sepak dan saya sedia untuk melaluinya. Saya akan buktikannya.

"Saya akan membantu setiap pemain saya dan membuktikan siapa mereka."

City masih belum tewas ketika permulaan bulan ini dan pemerhati bola sepak menjangkakan persaingan sengit musim ini di antara mereka dan Liverpool untuk merebut trofi liga.

Bagaimanapun, selepas tewas di tangan Chelsea, rentetan persembahan buruk ketika Krismas menyaksikan Tottenham Hotspur memintas mereka di tangga kedua liga tetapi Guardiola menafikan pemainnya bergelut dalam bulan Disember.

"Mengapa orang ramai tidak mahu percaya dengan apa yang pemain saya lakukan dalam 16 bulan terakhir," ujar Guardiola.

"Saya rapat dengan mereka dan ia akan sentiasa begitu.

"Saya sentiasa percaya bahawa mereka akan bermain dengan baik dan ia akan berterusan. Aksi di atas padang akan menjelaskannya.

"Kami tidak berada di prestasi terbaik dan kemenangan akan membantu kami. Persiapan untuk aksi ini adalah untuk menang. Kejayaan tidak datang bergolek dan ia hanya hadir jika kami berusaha.

"Anda sendiri yang katakan kami tidak boleh kalah sedangkan kami tidak pernah memikirkannya. Anda tidak pernah dengar saya bercakap tentangnya.

"Jika kami menang, ia disebabkan kami bekerja keras. Saya tidak tahu sama ada ia cukup atau tidak."