Pep Guardiola mengakui dia tidak pasti bila David Silva akan kembali beraksi untuk Manchester City.

Bintang Sepanyol itu tidak terlibat sejak kemenangan 4-0 City ke atas Bournemouth pada 23 Disember lalu, dengan Guardiola menjelaskan ia berkait dengan alasan peribadi.

Pemain berusia 31 tahun itu tidak menyertai City ketika 18 kemenangan berturut-turut mereka berakhir dengan seri 0-0 menentang Crystal Palace di Selhurst Park, malam tadi.

Tanpa memberi penjelasan lanjut mengenai ketiadaan Silva dalam pasukan utamanya, Guardiola menegaskan pemain itu tidak akan segera kembali.

Apabila ditanya mengenai kepulangannya, dia memberitahu sidang akhbar: "Saya tidak tahu. Bila dia bersedia, dia akan kembali. Tetapi kehidupan peribadinya adalah lebih penting daripada situasi lain.

"Jadi, apabila dia kembali, ia adalah kerana dia bersedia. Itulah yang perlu kami lakukan."

City berkelebihan 14 mata di puncak carta selepas seri dengan Palace. Mereka akan menghadapi Watford, Rabu ini, disusuli pertembungan Piala FA dengan Burnley Sabtu ini.