Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menegaskan tiada peluang buat dirinya dilantik sebagai pengurus Manchester United walaupun selepas makan malam bersama Alex Ferguson di New York.

Skuad kendalian Guardiola akan berkunjung Old Trafford dengan kelebihan lapan mata dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) hari ini.

Bekas pengendali Barcelona itu akan sekali lagi bertemu seterunya, Jose Mourinho, yang menyifatkan pemain-pemain City akan berusaha bermain kotor dalam perlawanan ini.

Sebelum ini, Guardiola pernah dikhabarkan hampir menyertai United selepas Ferguson bertemu pakar taktikal Catalan itu setahun sebelum menyertai Bayern Munich pada 2013.

"Saya telah makan malam bersama Pep Guardiola di New York pada 2012 tetapi tidak memberikan tawaran terus kepadanya kerana persaraan masih tidak berada dalam agenda saya," kata Ferguson menerusi biografinya, Leading.

"Beliau telah memenangi banyak kejuaraan bersama Barcelona. Saya amat mengagumi beliau. Saya meminta Guardiola menghubungi saya terlebih dahulu sebelum menerima sebarang tawaran daripada kelab lain tetapi beliau tidak melakukannya dan menyertai Bayern Munich pada Julai 2013," ujarnya.

Menjelang pertemuan 'derby' Manchester, Guardiola mencadangkan bahasa merupakan penghalang dirinya dan Ferguson untuk memahami perbualan mereka.

"Mungkin ketika itu bukan masa yang tepat -- saya belum fasih berbahasa Inggeris dan mungkin tidak memahami tujuan Ferguson," kata Guardiola.

"Kami bercakap mengenai kehidupan, bola sepak, mengenai EPL, Tetapi beliau tidak memberikan sebarang isyarat kepada saya.

"Ia merupakan dua pengurus pasukan yang berbincang mengenai banyak perkara. Ketika beliau bercakap terlalu laju, sukar untuk memahaminya. Tetapi Ferguson telah memilih restoran yang sangat hebat," katanya.

Guardiola menegaskan City merupakan pilihan utamanya jika berhijrah ke England selepas kerap dihubungi oleh pengerusi kelab, Khaldoon Al Mubarak, serta pengarah sukan, Txiki Begiristain.

"Bayern Munich merupakan kelab pertama yang menghubungi saya bersama-sama Manchester City tetapi saya memilih untuk ke Jerman, mempelajari bahasa Jerman dan menikmati pengalaman di sana.

"Selepas itu, City merupakan destinasi saya kerana telah bertemu dengan Begiristain, kemudian dengan Khaldoon, mereka menunjukkan minat yang tinggi berbanding kelab lain.

"Bersama City merupakan satu keputusan yang penting buat saya. Saya tidak menyesal menyertai kelab ini," ujarnya lagi

Walaupun tidak memahami kehendak Ferguson ketika itu, Guardiola tetap memandang tinggi kepada bekas pengendali United itu.

"Ia merupakan sesuatu yang menakjubkan dengan apa yang telah beliau lakukan. Kadang-kala, anda berasa sangat bertuah untuk menjadi pengurus kepada kelab yang memiliki generasi pemain-pemain yang berkualiti dan memenangi banyak gelaran.

"Beliau mampu melakukannya dengan pemain-pemain yang berbeza dan memenanginya sekali lagi. Ia adalah sesuatu yang rumit. Pencapaian beliau amat saya kagumi."